Seingat dah hampir dua bulan lepas mama rujuk kes pesakit yang satu ini,H, ke hospital berpakar didaerah ini.Bengkak di bawah telinga di leher kirinya yang semakin membesar dengan cepat tapi tak sakit itu membimbangkan mama.Dah dua kali dibuat biopsi dispital tu tapi doktor kata tak dapat cukup tisu untuk diperiksa.Ibu muda ini hanya mampu datang mengadu pada mama.Serik dibuat biopsi tanpa bius?Dan perlu dibuat sekali lagi?

Masaalahnya… kesnya sekarang dirujuk ke hospital lain yang akan mengambil masa lagi …Mei depan.
Hati mama semakin bimbang bila melihat bengkak yang pada mulanya hanya bersaiz guli itu sekarang dah hampir memenuhi sebahagian leher kirinya..Ini bukan sesuatu yang perlu ditunggu..next appointment?ohhhh lamanya?hidung dah tersumbat, telinga kirinya dah terganggu pendengarannya pastu ada bunyi berdesing pulak tu begitu melengkapkan telahan mama..tapi apakan daya ..hingga dibuktikan melalui biopsi baru boleh diiktiraf dan mama terikat untuk melakukannya di klinik ini…

Cuma mama boleh cadangkan alternatif lain..

“Ada insuran perubatan tak?kalau ada you pergilah ke hospital swasta mungkin cepat sikit dapat tahu sakitnya”

Dan semalam kakaknya yang datang ke klinik bagitau mama.

Ingat pada adik saya,H doktor dah sahkan dia kena kanser hidung.Dah tahap 3.Sekarang ada kat KL untuk rawatan lanjut.

Rupanya kerana dah taktahan menaggung bengkak, sesak nafas dan herot mukanya(cranial nerve involvement) akhirnya dia terpaksa juga pergi kesepital swasta.Habis 6 ribu hanya untuk nak konfimkan penyakitnya Nasopharyngeal Carcinoma(NPC) stage 3.Tapi untuk teruskan rawatan disitu mungkin takmampu ditanggung belanja …20 ribu untuk operation dan belum lagi kos chemo dan radiation.Dia mohon dirujuk ke hospital kerajaan untuk meneruskan rawatan seterusnya..malangnya setibanya disana disergah doktor disana sebelum baca surat rujukan..Kan apppointment bulan 5..belum masanya lagi? soal doktor marah -marah pada mulanya.Tapi bila dilihatnya gambar CT scan dia mula diam dan akur untuk masukkan ibu ini ke dalam wad.

Aduh!begitu sekali.Ini cerita sikakaknya yang sedang bersedih dengan nasib yang menimpa adiknya.Dia yang perlu memberi sokongan emosi dan psikologi untuk adiknya melalui saat saat begini..anak-anaknya yang masih kecil pun perlu diberi perhatian.Akhirnya kakaknya ini yang stress naik darah tinggi.
Mama hanya mampu bersimpati dan geram sendiri…kenapa mama lupa nak minta nombor enfonnya tadi.Harap dia diberi kekuatan untuk berdepan dengan penyakitnya ini.

NPC ,cancer yang jarang terjadi ,tetapi agak kerap berlaku ke atas masyarakat Cina .dan pada mereka yang suka makan makanan yang panas-panas atau makan ikan(salted fish) atau daging jeruk lebih berisiko…

Jom kita baca sikit artikel mengenai penyakit ini..

Pakar Perunding Otolaringologi yang juga Pakar Bedah Kepala dan Leher, Hospital Pakar Puteri Johor Bahru, Johor, Dr. Archuna Umapathy berkata:

“Kanser nasofaringeal merupakan ketumbuhan yang terbentuk di dalam nasofarinks, kawasan di mana bahagian belakang hidung terbuka hingga ke bahagian atas tekak dan juga di mana saluran telinga akan terbuka hingga ke tekak.

“Kanser nasofaringeal jarang berlaku di negara-negara Barat. Sebaliknya, ia boleh didapati secara meluas di rantau Asia Tenggara dan China Selatan”.

Tidak seperti penyakit-penyakit lain, agak sukar untuk menemui jurnal-jurnal mahupun artikel perubatan yang menyentuh secara terperinci mengenai kanser ini.

Jika pun ada, satu fakta yang tidak dapat dipisahkan dengan kanser nasofaringeal adalah kaitannya dengan kaum Cina.

Ini kerana, kanser nasofaringeal boleh dikatakan unik bagi rakyat Asia sahaja di mana ia kerap ditemui di negara-negara seperti Singapura, Filipina, Hong Kong, Taiwan dan China Selatan. Ia turut direkodkan di Tunisia dan beberapa bahagian di Afrika Utara.

Dr. Archuna berkata: “Di Malaysia, di antara 50 hingga 60 peratus kanser nasofaringeal berlaku di kalangan kaum Cina manakala Melayu, hampir 40 peratus.

“Anda mungkin berisiko tinggi menghidap barah ini sekiranya anda atau nenek moyang anda berasal dari China Selatan khususnya dari Guangzhou (Kanton) atau Hong Kong.”

Siapa lagi yang berisiko

* Lelaki; ketumbuhan adalah tiga kali lebih biasa di kalangan lelaki berbanding wanita

* Berusia lebih 35 tahun; satu umur yang secara relatifnya adalah awal untuk satu-satu kanser berkembang.

Sehingga kini, penyebab utama kepada kanser nasofaringeal masih menjadi perdebatan di kalangan komuniti perubatan.

Penyelidikan berterusan sedang dijalankan dengan meluas bagi mempelajari tentang punca-puncanya.

Sekalipun tidak disokong oleh bukti yang kukuh, para saintis menjurus kepada dua kemungkinan utama iaitu faktor genetik dan persekitaran.

“Seseorang itu barangkali mewarisi kecenderungan untuk menghidap kanser nasofaringeal daripada ibu bapa atau keluarga masing-masing.

“Faktor genetik mungkin merupakan faktor risiko terpenting memandangkan keadaan penyakit itu sendiri yang sering menyerang warga yang berasal dari China Selatan,” kata Dr. Archuna.

Salah satu punca lain adalah kekerapan memakan makanan jeruk atau tinggi kandungan garamnya seperti ikan, daging dan telur masin, sayuran jeruk dan lain-lain sejak dari kanak-kanak lagi.

Kajian mendapati, makanan yang dimasak menggunakan suhu yang tinggi boleh menyebabkan penghasilan bahan kimia yang boleh memusnahkan DNA.

DNA yang rosak ini seterusnya mengubah keupayaan sel-sel untuk mengatur pertumbuhan dan proses replikasi dengan baik.

Harissa – adunan berasaskan cili berempah yang digunakan di Afrika Utara dikatakan mempunyai kaitan dengan risiko kanser nasofaringeal yang meningkat di Tunisia.

Sementara itu di China Selatan, kepercayaan popularnya dikaitkan dengan makanan diawet khususnya ikan masin yang menjadi makanan utama nelayan selama beberapa minggu berada di laut.

“Kemungkinan yang lain ialah kesan jangkitan dari Virus Epstein-Barr, sejenis serangan penyakit yang biasa berlaku di seluruh dunia,” tambah Dr. Archuna.

Bagaimanapun, dengan mengetahui faktor-faktor risiko yang boleh meningkatkan peluang seseorang mendapat penyakit ini, sudah cukup baik sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kebanyakan kes kanser nasofaringeal boleh dikesan pada peringkat awal penyakit lagi kerana ia menunjukkan gejala-gejala yang menyebabkan pesakit perlu mendapatkan perhatian perubatan.

“Malangnya, sesetengah darinya sama sekali tidak memperlihatkan sebarang gejala sehinggalah penyakit sudah sampai ke peringkat yang lebih teruk,” ujar beliau.

Sebahagiannya juga mungkin menunjukkan gejala-gejala yang lebih kelihatan seperti boleh dikaitkan dengan penyakit biasa dan bukannya kanser.

Ada juga benigna yang boleh menghasilkan beberapa gejala seperti kanser nasofaringeal dan penilaian perubatan adalah satu-satunya untuk memastikan kewujudan NPC atau sebaliknya.

Dalam kes-kes tertentu di mana masalah hidung seperti resdung atau rinitis kronik adalah biasa, gejala hidung yang dianggap tidak penting ini selalunya akan dibiarkan begitu sahaja beberapa bulan lamanya sehingga tanda akhir kelenjar leher metastatik muncul.

Petanda awal kanser nasofaringeal

– Titisan hidung

– Masalah hidung berdarah

– Hidung tersumbat

– Masalah pendengaran di sebelah telinga atau rasa berdesing di sebelah atau kedua-dua telinga.

Tanda-tanda lain (mungkin sudah lewat)

– Penglihatan menjadi berganda atau kabur akibat serangan saraf-saraf yang mengawal pergerakan mata

– Pening kepala

– Rasa kebas di separuh bahagian muka

– Mengalami masalah pertuturan

– Terdapat ketulan di leher.

Mujurlah peluang untuk menyembuhkan kanser nasofaringeal adalah tinggi, di antara 80 hingga 90 peratus sekiranya ia berjaya dikesan pada peringkat awal lagi.

“Apabila kanser disahkan pada tahap lewat, peluang penyembuhan akan merosot di antara 30 hingga 40 peratus,” kata Dr. Archuna.

Jika terdapat salah satu daripada tanda-tanda atau gejala-gejala seperti di atas, doktor akan melakukan sesi interbiu dengan pesakit bagi mengetahui tentang sejarah keluarga, menjalankan pemeriksaan fizikal dan beberapa prosedur perlu.

“Doktor akan menggunakan kaedah endoskopi untuk cuba melihat kanser tersebut di mana sebuah kamera kecil di hujung satu tiub yang halus akan dimasukkan ke dalam hidung pesakit bagi membolehkan doktor melihat dengan lebih dekat ketumbuhan kanser tersebut.

“Ketika menjalani ujian endoskopi, doktor akan mengambil secebis kecil ketumbuhan tersebut sebagai sampel biopsi. Cebisan ketumbuhan ini akan dihantar ke makmal untuk diperiksa menggunakan mikroskop,” jelasnya lagi.

Doktor juga mungkin meminta pesakit menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT scan) atau pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk menentukan saiz ketumbuhan tersebut.

Dr. Archuna menegaskan agar mana-mana individu yang mengalami tanda-tanda kanser nasofaringeal agar segera berjumpa bagi membolehkan diagnosis yang tepat dibuat dan rawatan yang berkesan dimulakan.

Selalunya, gejala pertama kanser nasofaringeal yang dikesan oleh pesakit adalah bengkak pada leher yang bermakna, kanser telah merebak ke leher.

Keadaan itu menunjukkan bahawa ketumbuhan di belakang kerongkong telah berkembang selama beberapa bulan atau tahun dan melewati peringkat pertama.

Rawatan

Kata Dr. Archuna, pemulihan boleh dilakukan sekiranya kanser tersebut tidak merebak ke bahagian tubuh lain.

“Rawatan radiasi dan kemoterapi adalah rawatan standard untuk memulihkan penghidap barah nasofaringeal.

“Walau bagaimanapun rawatan radiasi dan kemoterapi akan menyebabkan pesakit berasa letih, dahaga dan sakit di dalam perut. Pesakit juga mungkin berasa pening selepas rawatan radiasi dilakukan,” ujar beliau.

Pembedahan hanya akan dilakukan sekiranya insidens kanser nasofaringeal berulang semula setelah pesakit diberikan rawatan radiasi.

Statistik berkaitan

– Saban tahun, lebih 50,000 orang di rantau ini meninggal dunia disebabkan oleh kanser nasofaringeal

– Adalah dianggarkan di antara 15 hingga 20 kes kanser nasofaringeal dilaporkan bagi setiap 100,000 orang di Hong Kong.

Advertisements