Musim cuti sekolah ni ramai betul yang membuat majlis kawin…Kad jemputan yang diberikan pulak sangat kreatif dan dihias kata-kata indah doa atau petikan hadis dan terjemahan ayat ayat tertentu dari Al-Quran yang nyata relevan dengan majlis dan harapan pengantin..

mama sangat suka membelek dan mencatitkan diantara wording menarik seperti ini…

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

“ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami-isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir ”
– Ar-Rum : Ayat 21

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

” Datanglah menunaikan jemputan apabila kamu dijemput kepadanya ”
– Daripada Abdullah Ibni Umar r.a.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya :
” Manusia Hawa dijadikan daripada rusuk manusia Adam, bukan dari kepalanya untuk menjadi atasnya, bukan dari kakinya untuk menjadi alasnya, malah dari sisinya untuk menjadi teman hidupnya, dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat di hatinya untuk dicintai “

Semoga Allah menghimpunkan yang terserak dari keduanya, memberkati mereka berdua dan kiranya Allah meningkatkan darjat keturunan mereka menjadi pembuka rahmat, sumber ilmu dan hikmah serta pemberi rasa aman bagi umat “
Doa Nabi Muhammad pada hari pernikahan puterinya Fatimah Azzahra dengan Ali bin Ali Talib

Ya Allah, berkatilah majlis perkahwinan ini, limpahkanlah baraqah dan rahmat kepada kedua mempelai ini,(nama pengantin) dan (nama pengantin).
Kurniakanlah mereka zuriat yang soleh dan solehah. Kekalkanlah jodoh mereka di dunia dan di akhirat dan sempurnakanlah agama mereka dengan berkat ikatan ini.

Doa Untuk Pengantin
“Ya Allah Ya Tuhanku, seandainya telah kau catatkan dia milikku, tercipta buatku, dekatkanlah dia padaku, satukan hatinya dengan hatiku, titipkanlah kemesraan di antara kami agar kebahagiaan itu abadi.
Dan Tuhanku Yang Maha Pengasih, seiringkanlah kami dalam melayari ketepian yang sejahtera, sepertimana yang Engkau kehendaki.”
~ Amin Ya Rabbal ‘Alamin ~

Doa Untuk Pengantin
“ Dari setinggi dan seluas kasih sayangMu, Kau limpahkan rahmat jua keampunanMu kepada pengantin suami isteri. Berkatilah majlis yang diadakan dengan keberkatan dari permulaan hingga pengakhirnya. Sesungguhnya pertemuan ini adalah dengan izinMu, kurniakanlah keduanya ketenangan, kebahagiaan dan jiwa yang tabah menghadapi setiap dugaanMu. Mudah-mudahan perkongsian hidup yang dibina berkekalan hingga ke akhir usia dan kurniakanlah kepada mereka zuriat yang soleh dan solehah. Dengan taufik dan hidayahMu beruntunglah keduanya dalam kehidupan di dunia
lebih-lebih lagi di akhirat ”
– Amin Ya Rabbal ‘Alamin –

Doa Untuk Pengantin
Ya Allah Ya Tuhan Kami, Kurniakan Rahmat Kepada (pengantin) Suami Isteri Agar Kekal Abadi, Aman Damai Yang Berkekalan Di Alam Rumahtangga, Sihat Walafiat, Dimurahkan Rezeki Dan Dilanjutkan Usia Dengan Mendapat Zuriat Yang Soleh Serta Mendapat Syafaat Daripada Junjungan Besar
Nabi Muhammad SAW.
~ Amin Ya Rabbal Alamin ~

Ya Allah, sesungguhnya hati kami ini bersatu dengan kasih sayangMu, bertemu di atas ketaatan kepadaMu, bersatu di jalan dakwahMu dan berjanji menegakkan AgamaMu… Maha Suci Engkau, perteguhkanlah tali ikatan antara kami ini, limpahkanlah kasih sayang di dalam hati kami ini. Engkau tunjukkanlah kami jalan hidayahMu, sesungguhnya padaMu kami berserah dan tempat kami memohon pertolongan “
~ Amin Ya Rabbal Alamin ~

Doa Untuk Pengantin
Ya allah ya Tuhan kami, kurniakan rahmat kepada (pengantin) suami isteri agar kekal abadi, aman damai yang berkekalan di alam rumahtangga, sihat walafiat, dimurahkan rezeki dan dilanjutkan usia dengan mendapat zuriat yang soleh serta mendapat syafaat daripada junjungan besar Nabi Muhammad saw.
~ Amin ya Yabbal Alamin ~

Ada satu kad jemputan yang mama terima baru baru ini dengan doanya begini dan dah banyak kali terjumpa tercatit begini…

” Ya Allah
Satukanlah hati kedua mempelai ini seperti Engkau satukan hati Adam dan Hawa, Yusuf dan Zulaikha dan seperti Engkau satukan hati Muhammad SAW dan Siti Khadijah.
Semoga Allah memberkati dan menghimpunkan kamu berdua kebaikan dan keberkatan di dunia dan akhirat “

cinta Yusuf dan Zulaika ???membuatkan mama bertanya pada abah…”Bila ketikanya Nabi Yusuf bercinta dengan Zulaika?” jenuh belek dalam surah Yusuf takder plak kisah cinta mereka kecuali kasih Zulaika yang tak berbalas hingga terkoyak baju Yusuf dibuatnya…betulkan mama jika salah.