Man dah selamat dibedah..lihat laporannya…

Tergamam tengok kaki suami sudah kecil

 Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
berita@kosmo.com.my

 manuntut

ABU SEMAN ditemani Maimunah setelah kakinya dibedah di HSB, Alor Star semalam sementara gambar di sebelah kiri keadaan kakinya sebelum dibedah.
 ALOR STAR – “Saya tergamam tengok kaki suami sudah kecil dan tidak besar macam dulu.”

Itulah reaksi pertama Maimunah Abu Bakar, isteri kepada pesakit untut, Abu Seman Saad, 37, apabila melihat suaminya itu diusung keluar dari bilik pembedahan pada pukul 10.30 malam kelmarin.

Menurut Maimunah, 35, kaki kanan suaminya yang membesar seberat 35 kilogram itu sudah kelihatan kecil seakan kaki normal.

“Sampai sekarang akak masih terkejut dan tidak percaya doktor boleh bedah kaki suami saya sehingga jadi macam itu..saya gembira dan ia hadiah Aidilfitri yang tidak ternilai,” ujarnya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kelmarin sejurus selepas pembedahan itu.

Menurutnya, doktor menjelaskan kepadanya pembedahan itu berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi dan sejumlah daging pada kaki Abu Seman telah dibuang.

Kata Maimunah, beliau sama sekali tidak menyangka pembedahan tersebut boleh membuang lebihan daging yang membuatkan kaki kanan suaminya itu besar dan sekarang semuanya kelihatan normal.

Abu Seman pula ketika ditemui Kosmo! sejurus selepas pembedahan sempat melambaikan tangan walaupun masih dalam keadaan separuh sedar.

Jelas Maimunah lagi, suaminya mungkin akan berada di hospital untuk tempoh sebulan dan menjalani proses pemulihan selama tiga bulan.

Kosmo! sejak 28 Januari lalu melaporkan mengenai kepayahan Abu Seman yang juga penjual laksa terpaksa mengusung kaki kanannya seberat 35 kilogram akibat sakit untut.

petikan dari akhbar KOSMO!..dan pesan Man pada pesakit yang senasib dengannya…

Abu Seman nasihat Shaliza segera bedah

 Oleh ZAMZURINA AHMAD

 ALOR STAR 12 Okt. – Pesakit untut, Abu Seman Saad, 37, dari Kampung Telaga Bata, Jalan Langgar di sini, yang berjaya menjalani pembedahan minggu lalu menasihatkan Shaliza Shahzulkarib, 33, dari Taman Cheras Idaman, Kuala Lumpur supaya segera menjalani pembedahan.

Shaliza yang juga mengidap penyakit yang sama sejak 14 tahun lalu, di kedua-dua belah kakinya terpaksa membataskan pergerakannya kerana bengkak di kakinya mencecah 100 kilogram.

Menurut Abu Seman, dia yang menderita penyakit itu sejak di tingkatan satu telah mencuba pelbagai rawatan tetapi tidak berjaya sehingga mendapat perhatian daripada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini setelah Utusan Malaysia menyiarkan kisahnya.

‘‘Sejak 24 tahun lalu, sudah beratus-ratus bomoh saya temui tetapi semuanya tidak menampakkan hasil yang positif.

‘‘Tapi, baru-baru ini apabila kisah saya dipaparkan di akhbar ini, pihak HSB mula memberi perhatian sehingga berjaya melakukan pembedahan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, dia bukannya hendak membelakangkan perubatan tradisional tetapi untuk penyakit seperti ini, memerlukan kepakaran melalui perubatan moden.

‘‘Kita boleh menggunakan perubatan tradisional seperti mengubati penyakit yang disebabkan makhluk halus kerana perubatan moden tidak mampu mengatasinya.

‘‘Oleh itu, saya nasihatkan Shaliza supaya segera menjalani pembedahan melalui kepakaran dan teknologi yang ada pada masa kini,” ujarnya sambil menunjukkan kaki kanannya yang telah dibedah.

Katanya, bekas pramugari itu perlu kuatkan semangat dan cekal menghadapi pembedahan untuk mengubati penyakit tersebut kerana setiap pembedahan pastinya mempunyai risiko.