“Demam Chiku-ngunya ? Penyakit apa ke bendanya tu? tanya abang pesakit ini.Adiknya,anak muda yang yang terkenal dengan gagah perkasa sebelum ini..di serang demam panas secara tiba tiba dengan sakit sakit sendi dan ruam yang muncul serentak di badan,mual dan hilang selera makan cukup melesukannya.

Kami ingatkan dia demam campak” itu diagnosis sementara oleh keluarga pesakit sebelum membawa pesakit untuk mendapat rawatan.”Dah bagi minum air kelapa nak bagi keluar habis“…amalan lazim orang orang tua di kampung ,… minum air kelapa yang dikatakan boleh merangsang ruam demam campak tu keluar cepat.

Inspektor Kesihatan bahagian kawalan penyakit berjangkit di Pejabat Kesihatan Daerah telah dimaklumkan sebelum merujuk patient untuk rawatan lanjut di hospital.

Penyakit chikungunya atau demam bongkok akibat sakit sendi yang teramat…boleh dikatakan ‘bersaudara’ dengan penyakit demam denggi dan demam denggi berdarah kerana dibawa oleh pembawa yang sama iaitu nyamuk aedes sama ada aegypti mahupun albopictus. Masa inkubasi virus ini ialah dua sampai empat hari, sementara manifestasinya tiga sampai sepuluh hari.

Bezanya, jika virus denggi menyerang pembuluh darah, virus chikungunya menyerang sendi dan tulang.

Nyamuk aedes lazimnya akan menggigit seseorang yang telah dijangkiti oleh virus chikungunya dan memindahkan darah berkenaan kepada seorang mangsa lain yang sihat.

Simptom-simptom penyakit chikungunya secara klinikalnya sangat mirip kepada demam denggi. Ia lazimnya dimulai dengan demam tinggi secara mendadak sehingga mencecah 39 celsius. Simptom lain termasuklah kesejukan, menggigil, ruam pada kaki, tangan dan badan, kurang selera makan, perut meragam, sakit kepala, mata merah, sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya), loya dan muntah.

Gejala paling biasa adalah sakit sendi (artritis atau atralgia) terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali, atau rasa ngilu pada tulang.Jangkitan chikungunya juga mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik) atau menyebabkan kesakitan yang teruk dan gejala yang berpanjangan.

Mujurlah, penyakit chikungunya tidak menyebabkan kematian seperti denggi berdarah. Ia dikategorikan sebagai penyakit yang boleh sembuh dengan sendirinya. Kalaupun berlaku kematian, ia adalah dalam jumlah yang kecil.