lawak pun ada nak tergelak pun ada…mutakhir ini masing masing nak mengishtiharkan diri sendiri sebagai pelajar yang cemerlang.

Ada kata 16A1 tapi hakikatnya tidak begitu.Ada yang lagi teror ,dua beranak sekali kononya dapat 23A1!sedangkan jumlah maksimum yang mungkin diambil hanyalah 21 sahaja kerana jika lebih daripada itu, akan berlaku pertindihan jadual peperiksaan.cerita lucu dan tak logik ingin menjadi paling cemerlang mengisi mukadepan akhbar akhir akhir ini tetapi pernahkah kita follow through  followup  apa jadi pada mereka mereka yang menjadi cemerlang suatu ketika dulu?Adakah mereka juga juga menjadi rakyat yang gemilang selepas itu?

sangat sangat setuju apabila agendaily menulis:-

Cemerlang? Ya, mereka cemerlang dengan 17 atau 16 A1. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah kejayaan hidup. Cemerlang dalam peperiksaan hanyalah meliputi ujian-ujian yang tersurat iaitu apa yang diajar melalui kurikulum. Kebijaksanaan seseorang tidak diuji melalui peperiksaan.

Sebaliknya, kehidupan seharian kita itulah yang akan menjadi ujian sebenar pembelajaran di sekolah. Kerana itu, keputusan belasan A yang dicapai dalam apa peperiksaan sekalipun bukanlah jaminan kita menjadi manusia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan akan hanya menjadi kenyataan apabila kita berada di dalam kelompok masyarakat. Peranan, tanggungjawab cemerlang dan khidmat kita akan dinilai dan kemudiannya dihargai. Ketika itulah segala-galanya yang akan membawa erti.

Ketika itu, mereka yang tidak mendapat 16 atau 17 A pun boleh cemerlang. Mereka juga boleh menjadi lebih gemilang dan terbilang walaupun dalam peperiksaan tidak mendapat sebarang A.

 

Pakar motivasi, Puan Ainon Mohamad, dalam ceramah-ceramahnya sering menyebut bahawa mereka yang cemerlang dalam akademik, paling tinggi menjadi pentadbir yang hebat. Mereka sekadar mentadbir tetapi tidak sampai ke tahap pembuat dasar atau yang boleh mempengaruhi pembuat dasar.
Kata bekas pegawai tinggi Dewan Bahasa dan Pustaka ini, pelajar-pelajar yang sederhana, malah yang pernah gagal adalah mereka yang akhirnya menjadi manusia yang hebat.

Mereka yang sederhana atau pernah gagal akan merasa rendah diri, dan apabila bekerja, mereka merupakan pekerja bawahan. Rasa kekurangan atau inferiority akan membuat mereka terasa tertekan atau terjejas. Mereka boleh bangkit dan menjadi agresif sehingga meniti kejayaan demi kejayaan.

Begitulah pencapaian tokoh-tokoh berjaya tertentu di negara kita. Tan Sri Eric Chia, pekerja pengangkut ikan di pasar yang meningkat sebagai usahawan berjaya.Pemilik Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow bermula sebagai kerani bank yang setiap hari sebak dada kerana melihat bapanya pembuat dan penjual terompah kayu di depan pejabatnya.

Sepuluh tahun kemudian beliau meletak jawatan dan menubuhkan banknya sendiri.

Sapuan Hardware bermula dari sebuah kedai kecil di tingkat bawah flat di Kampung Baru di Kuala Lumpur, tetapi sekarang lihatlah betapa gahnya Menara Sapuan.Begitulah ratusan nama lagi yang bermula bukan dengan kecemerlangan akademik tetapi keterbilangan usaha masing-masing sehingga menjadi cukup gemilang. Rahsia kejayaan masing-masing ialah ketekunan dan kesungguhan.

Mereka tidak pernah mendapat banyak A dalam peperiksaan, malah kebanyakan daripada mereka tidak pernah menduduki apa-apa peperiksaanpun!